Penyelesaian masalah adalah sebuah proses
bagaimana individu menggunakan pengetahuan sedia ada, kemahiran dan segala
pemahaman untuk mengenal pasti suatu keadaan yang berbeza dan luar biasa dari keadaan lazimnya berlaku. Salah satu matlamat pendidikan Matematik
adalah mengajar kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu,
guru harus memastikan murid berjaya menyelesaikan masalah dengan
menggunakan strategi-strategi tertentu.
Program pendidikan Matematik yang seimbang bukan sahaja harus terdiri
daripada pembelajaran konsep Matematik dan penguasaan kemahiran-kemahiran asas matematik. Ia juga harus melibatkan murid memperkembangkan
kebolehan untuk berfikiran secara Matematikal.
Menurut P.L Spencer dan M. Brylegaard
dalam bukunya “Building Mathematic
Concepts In Elementary School”, beliau
mengakui nilai Matematik adalah untuk menjelaskan proses-proses sosial yang
penting yang telah dilakukan oleh
manusia. “Sebagai satu kajian sosial, Matematik bukan sahaja membincangkan
alat-alat dan tatacara yang berkaitan dengan sistem-sistem nombor tetapi
Matematik itu juga membicarakan masalah-masalah yang dialami oleh orang semasa
cuba memahami dan membuat penyelarasan yang sesuai dengan semua jenis pengalaman yang bersabit
dengan kuantiti.” (Frank J. Swetz, Liew Su Tim, 1983) Ketua Pengarah Pendidikan
Malaysia , Datuk Abdul Rafie Mahat, mengatakan bahawa pengajaran dan
pembelajaran Matematik di sekolah memerlukan 3 kaedah yang sesuai supaya tidak
menimbulkan rasa ‘takut’ di dalam diri pelajar.(Hairulazim,2002). Oleh itu, guru perlu bijak menggunakan
kreativitinya serta inovatif dalam menyampaikan isi pengajaran terutamanya
tentang penyelesaian masalah agar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang
efektif dan kondusif. Di samping itu,
guru berperanan untuk memupuk semangat belajar di kalangan pelajar serta
menghapuskan perasaan ‘takut’ yang ada dalam diri pelajar terhadap
matematik.
Pengajaran matematik jarang mengambil
kira perbezaan individu di kalangan pelajar-pelajar. Akibatnya, sesetengah pelajar menghadapi
kesukaran untuk memahami penerangan yang disampaikan oleh guru. Ini kerana guru menganggap semua pelajar
bijak dan tahu untuk menyelesaikan masalah yang diberikan di kelas. Penekanan
kepada kemahiran-kemahiran menyelesaikan
masalah harus diberikan dengan baik kerana proses mengajar-belajar Matematik
adalah untuk kefahaman ‘instrumental’, iaitu ‘kebolehan menggunakan suatu petua
yang sesuai untuk menyelesaikan masalah, tanpa mengetahui mengapa petua itu
berguna’(Skemp, 1979).
Menurut Radatz (1979), kesilapan dalam
pembelajaran matematik ialah hasil daripada proses yang sangat kompleks. Oleh
itu, guru-guru perlu peka semasa menyampaikan isi pelajaran di dalam kelas agar
pelajar memperolehi input yang hendak di sampaikan oleh guru. Matematik merupakan mata pelajaran yang
memerlukan kepada penyusunan langkah kerja yang teratur atau berstruktur. Oleh itu, sukar bagi kita untuk menentukan
dimanakah letaknya kelemahan pelajar dalam menyelesaikan masalah Matematik
kerana terdapat bertingkat-tingkat kedayaan prasyarat bagi sesuatu tugas
matematik (Gagne, 1976). Kemahiran
kognitif pelajar perlu dijana dengan baik agar mereka dapat menggunakan
kemahiran yang sedia ada untuk menyelesaikan masalah Matematik.Menurut Radatz
(1979), perwakilan menggunakan simbol-simbol,
tatatanda dan istilah-istilah Matematik merupakan ‘bahasa asing’ kepada pelajar kerana mereka
perlu menghafal dan memahami simbol yang jarang digunakan dalam kehidupan
mereka seharian. Sesetengah tatatanda
Matematik menimbulkan kesukaran intrinsik kepada pelajar seperti a-1= 1/a
sedangkan maksud a-1 adalah sonsangan.
Oleh itu, timbul masalah salah tafsir konsep dalam penyelesaian masalah
yang mereka laksanakan. Daripada situasi
diatas penyelidik merasa terpanggil
untuk melihat tahap penguasaan pelajar dan langkah-langkah yang digunakan oleh
pelajar-pelajar dalam menyelesaikan masalah di dalam tajuk ungkapan dan
persamaan kuadratik.
No comments:
Post a Comment